Wednesday, 24 April 2013

Menara Condong


KHAZANAH tinggalan sejarah ada kalanya mewarnai populariti sesuatu tempat. Satu-satunya tinggalan sejarah yang berjaya menjadi daya penarik di negeri ini ialah Menara Condong Teluk Intan. Dikatakan menyamai Menara Condong Pisa di Itali.

KEDUDUKAN
Terletak di antara pertemuan dataran segiempat, iaitu Jalan Pasar dan Jalan Ah Cheong dengan Jalan Selat  dan Jalan Bandar di kiri dan kanan menara, seolah-olah merelakan kedudukannya di tengah bandar dan menjadi tanda sejarah yang sudah berusia lebih satu abad.

PANGGILAN
Ketika dibina pada tahun 1885, ia dikenali sebagai Jam Tinggi kerana memiliki sebuah jam yang masih berperanan sehingga ke hari ini. Apabila bangunan itu telah condong sedikit ke arah Barat Laut, ia mula diberi jolokan menara condong lantas menempah gelaran menara condong kedua di dunia selepas Menara Pisa di Itali.

PEMBINAAN
Struktur yang menyerupai pagoda ini telah dibina pada tahun 1885 oleh seorang kontraktor Cina bernama Leong Choon Chong. Tujuan asal pembinaanya ialah bagi menempatkan sebuah tangki air. Air tangki ini digunakan oleh penduduk setempat sekiranya berlaku kemarau atau sebagai keperluan memadam api sekiranya berlaku kebakaran kerana pada waktu itu bandar tersebut tidak mempunyai perkhidmatan bomba. Tegak berdiri pada ketinggian 25.5 meter, pembinaan terperincinya memberi satu pandangan bahawa ianya terdiri daripada 8 aras. Namun, jika ianya dilihat daripada bahagian dalamnya, seseorang pengunjung itu pasti akan menjadi kehairanan jika didapatinya ketinggian menara tersebut hanyalah setinggi tiga tingkat sahaja.


SEJARAH DAN KENANGAN
Sesuai dengan usianya menjangkau lebih 100 tahun, bangunan bersejarah itu pernah dilanda pelbagai kenangan. Di antaranya ialah pada tahun 1889 dan 1895 apabila berlaku banjir besar sekali gus menenggelamkan bangunan tersebut. Peristiwa itu adalah faktor yang menyebabkan bangunan tersebut condong dan menjadikannya lebih unik. Lebih sekurun yang lampau, tapak mercu tanda ini adalah sebuah terusan laluan diantara Durian Sebatang (tebing Sungai Bidor) ke Sungai Perak (berhampiran Balai Polis lama) yang dibina oleh Mak Intan dengan para pengikutnya, tapak Menara Condong ini dibina pada bekas terusan tersebut setelah ianya dikambus.
Mak Intan adalah seorang janda yang dikatakan mempunyai rupa paras yang cantik, beliau adalah seorang saudagar yang berasal dari Mandahiling, Sumatera.  Beliau adalah peneroka yang membuka Teluk Intan disekitar awal abad ke 19.  Pada waktu itu, kawasan yang diterokai oleh Mak Intan dikenali sebagai Pekan Mak Intan.

PEMBANGUNAN
Berikutan penerokaan ini, ramailah orang seberang berketurunan Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan kemudian India-Bombay datang mendiami kawasan yang baru diterokai itu, kebanyakan daripada mereka adalah para pedagang barangan tradisi seperti rempah ratus, kain, inggu, kacip, parang dan sebagainya.
Menyedari hakikat inilah pembinaan laluan air dilaksanakan bagi memudahkan para pedagang membawa bahan dagangan ke Sungai Perak sekaligus membelah pekan Mak Intan menjadi sebuah pulau.  Walaubagaimanapun setelah Inggeris mengambil alih kuasa pentadbiran pekan Melayu sekitar 1880-an mereka telah merancang membesarkan pekan tersebut dan langkah pembesaran ialah dengan menimbus terusan Mak Intan.  Beberapa tahun kemudian, diatas penambakan tanah gambut itulah didirikan bangunan tersebut setinggi 85 kaki dari paras muka bumi.
Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini telah digunakan oleh askar-askar Jepun sebagai menara kawalan bagi memerhatikan kedatangan musuh dan ianya telah merosakkan sebahagian bangunan tersebut terutama di bahagian atasnya.

STRUKTUR BANGUNAN
Bangunan tiga tingkat ini memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 15.5 kaki.  Jika dilihat dari luar bangunan, ianya seolah-olah mempunyai lapan tingkat.
Struktur bangunan ini diperbuat daripada batu dan kayu, setiap tingkat dilengkapi lorong jalan enam kaki lebar berdindingkan tembok rendah dua kaki yang dihiasi dengan batu berwarna hijau.  Atap di bahagian atas dan tepinya menggunakan genting.
Tangki air terletak di aras tiga, ianya diperbuat daripada kepingan keluli setinggi 16 kaki dengan muatan 680 kaki padu.  Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 43 kaki dan menguncup ke atas 27 kaki.

MENDAPAT PERHATIAN
Menyedari akan keunikan dan sejarah yang tersendiri bangunan tersebut, pada tahun 1997 pihak Majlis Daerah Hilir Perak telah mengambil inisiatif untuk membina sebuah dataran disekeliling bangunan tersebut dan langkah-langkah pemuliharaan akan terus dijalankan bagi menjadikan ianya satu daya tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.



 Fyza terjumpa projek lama Fyza dulu... Kalau tak salah projek Sejarah semasa Tingkatan 3.. hehe..
Tujuan hanyalah untuk berkongsi fakta.....

No comments:

Post a Comment